Sunday, June 24, 2018
vital-top
updated 3:44 PM UTC, Jun 23, 2018

Aaliyah Yoong Naib Juara Remaja Masters As

  • Published in Sukan
Foto - BERNAMA

27 MEI: KUALA LUMPUR - Bintang remaja ski air Malaysia, Aaliyah Yoong Hanifah, melakar sejarah peribadi apabila menaiki podium untuk kali pertama dalam acara tricks pada kejohanan Nautique Waterski US Junior Masters di Callaway Gardens, Atlanta.

 Menurut kenyataan Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF), pemenang tiga pingat emas Sukan SEA ke-29 di  Kuala Lumpur pada 2017 itu, menduduki tempat kedua pada pusingan pertama  dengan meraih 6,530 mata untuk mara ke pusingan akhir.

Aaliyah kemudian terus beraksi dengan cemerlang dan meraih 6,400 mata untuk mengekori atlet  Kanada, Paige Rini, yang muncul juara dengan mengumpul 8,020 mata.

“Saya agak berpuas hati dengan persembahan saya kerana berjaya bertahan bagi acara pertama  iaitu toes tricks pada pusingan pertama dan kedua. Saya terjatuh ketika melakukan trick terakhir iaitu flip kelima dan inilah persembahan yang saya belum cukup tekal.

“Ia sungguh mencabar, saya sudah cukup gembira kalau mampu melangkah hingga ke peringkat akhir, tetapi apabila menduduki tempat kedua, sudah tentulah ia merupakan bonus bagi saya. Keputusan ini memberi perangsang kepada saya untuk mencapai kejayaan lebih besar,” kata Aaliyah.

Ketua jurulatih MWWF Hanifah Yoong berkata Aaliyah layak menyertai masters remaja untuk empat tahun lagi serta layak diundang untuk mengambil  bahagian dalam tiga acara – tricks, slalom dan jump tahun depan.

Katanya atlet itu meletakkan sasaran untuk memenangi acara trick remaja tahun depan bagi membolehkannya mara ke peringkat profesional wanita dalam masa dua atau tiga  tahun lagi.

Sementara itu, adik Aaliyah,  Adam Yoong Hanifah, 10, turut mencipta sejarah dengan menjuarai acara tricks lelaki Bawah 13 Tahun dengan mencipta rekod baharu kebangsaan apabila mengumpul  4,750 mata.

((BERNAMA))