Monday, November 20, 2017
vital-top
updated 5:32 AM UTC, Nov 20, 2017

Skuad Tok Gajah Semai Minat Bersukan Di Kalangan Pelajar

KUANTAN - Lebih 500 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar teruja apabila berpeluang bertemu pemain Pahang secara dekat pada Program Jejak Juara Tok Gajah hari ini. 

Program yang diperkenan Presiden Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah itu antara lain diisi dengan aktiviti solat hajat, menyarung jersi kepada pasukan bola sepak sekolah itu dan jamuan ramah mesra.   

Penyelaras program, Datuk Seri Abdul Hamid Mohd Nazahar yang juga Timbalan Ketua UMNO Kuantan berkata tujuan program itu diadakan ialah untuk beramah mesra di antara pihak pengurusan skuad Pahang dengan peminat muda terutama dalam kalangan pelajar.   

Abdul Hamid berkata sekolah itu turut dipilih berdasarkan prestasi cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

Hadir pada majlis itu ialah Pengurus Pasukan Pahang, Datuk Che Nasir Salleh, Ketua Jurulatih Pahang Dollah Salleh dan Pengetua SMK Paya Besar, Datin Ezizah
Hashim.  

Sementara itu, Che Nasir berkata program itu dilihat mencapai sasaran sebagaimana diharapkan dan tidak mustahil ia diteruskan sebagai acara jelajah ke sekolah-sekolah sekitar Pahang.

Sumber : BERNAMA