Sunday, June 24, 2018
vital-top
updated 3:44 PM UTC, Jun 23, 2018

PIALA THOMAS: Malaysia Tundukkan Rusia 5-0

  • Published in Sukan
Foto - Bernama

BANGKOK - Malaysia memulakan kempen Piala Thomas dengan langkah kanan apabila  membenam Rusia 5-0 dalam saingan peringkat Kumpulan D di Impact Arena, di sini.

Mata pertama Malaysia diperolehi menerusi  pemain perseorangan utama Datuk Lee Chong Wei yang menundukkan Vladimir Malkov 21-9, 21-6 dalam pertarungan yang berlangsung hampir 30 minit.

Datuk Chong Wei yang tampil bertenaga tidak memberikan sebarang ruang kepada pemain Rusia itu dan menamatkan perlawanan tanpa banyak masalah.

Pasangan beregu nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang tampil di gelanggang dua memberi mata kedua Malaysia selepas berjaya mengetepikan cabaran sengit bekas juara beregu All England Vladimir Ivanov-Ivan Sozonovm 21-18, 21-19. 

Mata ketiga dan kemenangan negara disumbang oleh pemain perseorangan muda negara, Lee Zi Jia yang menundukkan Sergey Sirant 21-13, 21-16.

Beregu  kedua negara, Aaron Chia- Teo Ee Yi pula mudah menyekat pasangan Evgenij Dremin-Denis Grachev 21-16, 21-9  untuk menyumbang mata keempat negara dan perseorangan ketiga Iskandar Zulkarnain melengkapkan lima mata selepas menyingkirkan Rodion Alimov 21-9, 21-12. 

Malaysia akan bertemu Algeria esok sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan  menentang  Denmark pada Rabu.

((BERNAMA))