Tuesday, 4 August 2020

updated 12:36 PM UTC, Aug 4, 2020

Kebocoran gas ammonia, 27 pekerja kilang dikejarkan ke hospital

  • Published in Berita Semasa

KULIM, 3 Feb - 27 daripada 59 pekerja sebuah kilang di Kulim Hitech Park, Kulim dikejarkan ke hospital akibat terhidu gas ammonia yang bocor di kilang berkenaan malam tadi.

Satu daripadanya dirawat di Zon Merah dan 26 di Zon Kuning hospital.

Manakala 10 lagi hanya mengalami muntah-muntah dan dirawat di tempat kejadian.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian bersama 20 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 11.42 malam.

Setibanya di kilang berkenaan, pihak bomba mendapati kebocoran gas ammonia berpunca daripada saluran paip gas ke 'production' telah bocor di setor kilang tersebut.

Komander operasi melaporkan seramai 49 orang telah mengalami muntah-muntah dan 10 orang telah dihantar ke hospital dan dirawat di Zon Kuning.

BBP Kulim Hi-Tech juga mengambil tindakan awal dengan membuat 'decon' pada kesemua mangsa bagi meneutralkan gas tersebut sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan selanjutnya.