Tuesday, 4 August 2020

updated 12:36 PM UTC, Aug 4, 2020

Hadapi lima pertuduhan, representasi Riza Aziz diputuskan pada 25 Feb

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 31 Jan - Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh 25 Februari ini berkaitan keputusan permohonan representasi anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz.

Mahkamah dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Aihani Zainal dari Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM), bahawa sedikit masa diperlukan bagi kajian lanjut berkenaan perkara tersebut.

Pihak Peguambela telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan semula pertuduhan yangh dibuat kepada Riza pada 18 November lalu.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Riza, ketika kes ditetapkan untuk pengurusan kes di dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob.

Pada 5 Julai tahun lalu, Riza yang juga pemilik syarikat Red Granite Pictures, membuat pengakuan tidak bersalah terhadap lima pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM1.25 bilion, lapan tahun lalu.

Tuduhan itu membabitkan wang yang diterimanya antara tahun 2011 dan 2012 daripada Good Star Ltd. yang dikaitkan dengan Jho Low dan dana 1MDB.