Sunday, October 20, 2019
updated 2:49 PM UTC, Oct 20, 2019

E-Piala Malaysia bakal dibarisi pemain-pemain e-sukan berstatus profesional negara

  • Published in Sukan

 

KUALA LUMPUR - Sempena saingan Piala Malaysia 2019 musim ini, Malaysia Football League, MFL dengan kerjasama Gamesbond Global Sdn Bhd, bakal memperkenalkan kejohanan sukan elektronik, E-Piala Malaysia tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam dalam kenyataan media berkata, pihaknya sentiasa terbuka dan teruja untuk memperkenalkan pendekatan baharu dengan mengadakan kejohanan E-Piala Malaysia yang bakal dibarisi pemain-pemain e-sukan berstatus profesional negara.

Jelas beliau, MFL menyedari perkembangan e-sukan yang mendapat perhatian serius di kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

Justeru MFL turut tidak mahu ketinggalan untuk menyumbang kepada perkembangan e-sukan di tanah air.

Pengarah Urusan Gamesbond Muhammad Fazli Razak pula menjelaskan, pihaknya telah memilih beberapa pemain ranking terbaik tanah air yang bakal membuat penampilan dalam E-Piala Malaysia.

E-Piala Malaysia kali ini bakal menggunakan permainan video FIFA 20 dan senarai pendek pemain adalah berdasarkan ranking rasmi dan pencapaian antarabangsa yang terbaharu.

Fazli yakin kerjasama dengan MFL ini bukan sahaja membuka dimensi baharu dalam sukan elektronik tetapi turut mencungkil bakat-bakat pemain berpotensi tinggi di Malaysia.