Tuesday, May 22, 2018
vital-top
updated 3:27 PM UTC, May 22, 2018

Raja Muda Perlis Mahu Kejohanan Woodball Libatkan Pasukan Luar

  • Published in Sukan
Foto - Bernama

ARAU - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan penganjur Kejohanan Woodball Piala Tuanku Canselor UniMAP (PTCU) mengundang institusi pengajian tinggi (IPT) di zon utara Semenanjung dan selatan Thailand untuk menyertai kejohanan itu.

Titah baginda penglibatan lebih banyak pasukan dari luar Perlis akan menjadikan kejohanan itu lebih gemilang.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) boleh menyusun jadual pertandingan agar tidak bertembung dengan peperiksaan bagi mengelakkan sesebuah pasukan menarik diri pada saat akhir, titah Tuanku Syed Faizuddin yang juga Penaung Diraja Persatuan Woodball Perlis.

Baginda bertitah demikian pada majlis penyampaian hadiah PTCU di Astaka Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UniMAP di Pauh Putra, malam tadi.

Kejohanan kali kedua itu disertai 10 pasukan mewakili IPT di Perlis selain Majlis Sukan Sekolah-sekolah Perlis (MSSPs) bagi mencungkil bakat-bakat baharu untuk dibimbing menjadi pemain terbaik menjelang kejohanan ‘Woodball Championship World Cup (WCWC) Perlis 2020.

UniMAP mempertahankan kejuaraan PTCU yang dimenanginya tahun lepas manakala MSSPs (B) muncul naib juara dan tempat ketiga dimenangi oleh Institut Pendidikan Guru (IPG) Malaysia Kampus Perlis.

((BERNAMA))