Tuesday, May 22, 2018
vital-top
updated 3:27 PM UTC, May 22, 2018

Skuad Pahang Sekadar Meraih Seri Di Halaman Sendiri

  • Published in Sukan
Foto - BERNAMA

6 MEI: KUANTAN - Pergerakan bahagian tengah skuad Pahang yang agak perlahan dalam mengumpan jentera serangan menjadi punca pasukan itu gagal untuk menokok jaringan bagi meraih kemenangan di halaman sendiri di Stadium Darul Makmur, di sini malam tadi.

Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata persembahan anak buahnya ketika bertemu Kedah dilihat agak berbeza berbanding beberapa perlawanan terdahulu yang menyaksikan skuad Tok Gajah beraksi secara pantas dalam menggempur kubu lawan.

"Pada babak pertama kita bagaikan serba tidak menjadi dan terlalu banyak ikut rentak Kedah dengan membiarkan mereka mengawal bahagian tengah.

"Kita berjaya menjaringkan gol awal dan cuba bangkit pada separuh masa kedua untuk mendahului tetapi gol kedua Kedah telah mengganggu rentak permainan Pahang sehingga keputusan terikat 2-2.

"Saya perhatikan pemain tengah kita terlalu mengharapkan bahagian penyerang melakukan sesuatu dan bantuan mereka dari tengah agak lambat...selama ini cepat seperti aksi bertemu Terengganu," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tamat.

Dollah berkata, berdasarkan persembahan anak buahnya, beliau terpaksa berpuas hati apabila memperoleh satu mata setelah menerima saingan sengit daripada pihak lawan.

"Keputusan ini agak mengecewakan apabila terlepas tiga mata sebab kita memang mengharapkan kemenangan agar tidak tertinggal jauh dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Nasib baik Kedah tidak menang kerana mereka beraksi dengan baik...bagi saya dengan persembahan kita malam ini satu mata itu sudah memadai,” katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Kedah, Azzmi Ab Aziz berkata pasukannya sudah bermain dengan berdisiplin di tempat lawan sehingga mampu mengikat Pahang yang kini berada pada tahap terbaik.

"Saya rasa semua pemain sudah mengikuti arahan sebagaimana yang dirancang di atas padang...mereka telah curahkan lebih daripada apa yang diharapkan dan sentiasa memberikan tekanan kepada Pahang.

"Keputusan seri ini agak mengecewakan tetapi satu mata di tempat lawan adalah amat berharga buat kami," katanya.

((BERNAMA))