Saturday, October 21, 2017
vital-top
updated 5:20 AM UTC, Oct 21, 2017

Larian Baton Bangkit Bersama KL 2017 Di Yangon Sabtu Ini

PUTRAJAYA - Larian Baton Bangkit Bersama bagi membawa semangat perpaduan dan kekeluargaan sempena temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (KL 2017) akan diteruskan di Yangon, Myanmar pada 25 Mac. 

Menurut kenyataan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC), Yangon menjadi destinasi keempat dalam siri larian baton yang menjelajah ke 10 negara peserta KL 2017. 

Jelas MASOC, pelari jarak jauh Myanmar, San Naing akan menjadi pelari utama yang akan bermula di checkpoint pertama Sabtu ini manakala atlet para, Kyaw Kyaw Win akan menjadi pelari utama yang terakhir sebelum larian baton tiba di garisan penamat. 

Menurut MASOC, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Yangon bersama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Haslina Abdul Hamid, Ketua Pegawai Operasi MASOC KL 2017 Shaiful Zahrin Subhan dan Pengerusi Jawatankuasa Larian Baton Bangkit Bersama Ajitpal Singh.

Acara Larian Baton Bangkit Bersama di Myanmar akan menyaksikan penyerahan baton kepada wakil negara tuan rumah yang berikutnya, Thailand yang diwakili Duta Besar Thailand di Myanmar, Pisanu Suvanajata. 

Larian Baton Bangkit Bersama dianjurkan oleh MASOC dengan kerjasama negara-negara terlibat sebagai praacara kepada temasya sukan KL 2017. 

Siri larian baton ini bermula di Brunei pada 5 Mac sebelum bergerak ke Filipina dan Laos masing-masing pada 12 dan 18 Mac.  

Larian baton seterusnya di Thailand akan diadakan pada 1 April. KL 2017 akan berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos ini. 

((BERNAMA))