Sunday, May 20, 2018
vital-top
updated 1:14 PM UTC, May 20, 2018

PM Ucap Tahniah Kepada Pandalela-Jung Hoong Cipta Sejarah Raih Emas

  • Published in Sukan
Foto - Twitter DS Najib

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada penerjun sensasi negara, Pandelela Rinong Pamg dan Cheong Jun Hoong, yang mencipta sejarah dengan membawa pulang pingat emas menerusi pusingan ketiga Kejohanan Terjun Siri Dunia DINA yang berlangsung di Montreal, Kanada, pada Jumaat.

“Tahniah @Pandelela_R & @cheongjunhoong cipta sejarah bawa pulang Emas dalam Diving World Series di Montreal, kali pertama Malaysia menang dalam acara berprestij ini. Hebat! #NegarakuKebanggaanku#HebatkanNegaraku,” kata Najib menerusi catatan di laman Twitter beliau.

Dalam kejohanan itu, pasangan penerjun berkenaan mengumpul  322.74 mata selepas lima pusingan terjunan untuk berada di tempat teratas acara wanita 10m platform segerak di Centre sportif du Parc olympique – Parc olympique de Montréal, menurut laman sesawang Persekutuan Renang Antarabangsa  (FINA)  www.fina.org.

Kejayaan mereka itu hanya 0.84 mata mengatasi gandingan Korea Utara  Kim Mi Rae-Kim Kuk Hyang, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Penerjun sensasi China, Si Yiajie, dan gandingan baharu beliau, Lin Shan, membawa pulang gangsa selepas mengumpul 320.82 mata.

Pasangan Malaysia itu memenangi perak dalam acara sama dalam pusingan pertama di Beijing pada 9 Mac dan gangsa dalam pusingan kedua di Fuji, Jepun pada 15 Mac.

((BERNAMA))