Monday, August 26, 2019
updated 5:11 AM UTC, Aug 26, 2019

Cumbia, Mimosa Kuda kesayangan Al-Sultan Abdullah

  • Published in Sukan

PEKAN - Kelincahan dan ketangkasan Cumbia dan Mimosa di padang polo menjadikan dua kuda baka Argentina itu menjadi kuda kesayangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengurus kandang kuda di Kelab Polo Diraja Pahang di sini, Amran Selamat berkata kuda berkenaan, yang kini berusia 15 tahun, masih menjadi pilihan Sultan Abdullah, walaupun Seri Paduka tidak lagi aktif bermain polo atas faktor kesihatan.

Seingat Amran, 42, kali terakhir Seri Paduka menunggang Cumbia dan Mimosa pada perlawanan polo adalah sekitar tahun 2014 dan selepas itu hanya menunggang kuda berkenaan sebagai aktiviti riadah Sultan Abdullah.

Walaupun kini bersemayam di Istana Negara, tuanku masih mengambil kesempatan untuk melihat kuda kesayangan tuanku setiap kali mencemar duli ke Pekan dan ada masanya baginda sendiri berkenan untuk memberi kuda makan.

Kuda tersebut kini akan ditunggang oleh anakanda baginda atau saya dan seorang lagi pemain kelab yang diberi kebenaran untuk berbuat demikian, pada latihan polo.i.

Amran berkata Sultan Abdullah berkenan membeli Mimosa dan Cumbia semasa kuda itu berusia enam tahun, dan setakat ini terdapat 60 ekor kuda di kelab itu, dengan semuanya daripada baka Argentina.

Katanya kuda itu diberi makan rumput kering (hay), palet kuda dan vitamin bagi memastikan kesihatannya selain menjalani pemeriksaan doktor veterinar setiap enam bulan.

Anak jati Pekan itu berkata beliau pernah menyembah maklum kepada Sultan Abdullah, yang ketika itu berada di ibu negara, mengenai kematian kuda kesayangan Seri Paduka, 20 tahun lalu.