Monday, November 18, 2019
updated 2:49 PM UTC, Nov 18, 2019

Kejohanan Piala FA Shopee 2019 : Kedah Julang Piala FA

  • Published in Sukan

FOTO - RTM

STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL - Jaringan tunggal pemain muda pasukan Kedah Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada masa tambahan memastikan kemenangan 1-0 buat pasukannya sekali gus menafikan harapan menjulang penyokong Perak untuk pasukan mereka merangkul juara pada aksi akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Beraksi di padang yang sedikit basah akibat hujan sebelum perlawanan, jelas tidak merencatkan aksi bertenaga kedua-dua pasukan.

Perak yang turun dengan status juara Piala Malaysia 2018 terlebih dahulu cuba memecah kebuntuan menerusi pemain import dari Brazil, Raianderson Da Costa.

Namun rembatan kaki kiri dari jarak dekat tersasar sehingga melewati gawang lawan.

Empat minit berselang Raianderson sekali lagi melakukan percubaan menerusi tandukan hasil hantaran lintang rakan sepasukan tetapi ia berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Separuh masa pertama menyaksikan Perak lebih menguasai permainan sementara Kedah bijak dan tenang menyerap tekanan untuk menamatkan babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, nasib terus tidak menyebelahi pasukan bimbingan Mehmet Durakovic apabila sepakan percuma pemain pertahanan, Nazirul Naim Che Hashim sekadar menggegar palang pada minit ke-49.

Minit ke-63, Kedah sepatutnya sudah membuka jaringan tetapi sepakan lemah Muhammad Farhan Roslan selepas melepasi perangkap ofsaid mudah ditangkap kemas Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Ronaldo turut menerima nasib sama pada minit ke -70 apabila percubaannya hasil serangan balas pantas dimulakan Brendan Gan berjaya dihalang pertahanan Kedah.

Menambah lagi perit skuad Perak apabila Amirul Azhan Aznan dilayangkan kad kuning kedua akibat kekasaran dilakukan terhadap Azammuddin Mohd Akil.

The Bos Gaurus hanya mampu bertahan sehingga minit ke-105 apabila pemain gantian, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan di hadapan 83,520 penyokong di stadium kebanggaan rakyat ini sekali gus meranapkan impian skuad The Bos Gaurus untuk menamatkan penantian 15 tahun merangkul trofi berprestij negara selepas kali terakhir melakukannya pada 2004.

Kejayaan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu juga menandakan Kedah berjaya menyamai rekod kejuaraan lima kali, pasukan Selangor.