Monday, December 9, 2019
updated 5:14 AM UTC, Dec 9, 2019

Takuto Okabe, pengadil Jepun bakal mengadili final Piala FA 2019

  • Published in Sukan

FOTO - RTM


KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia, FAM mengumumkan pengadil Jepun, Takuto Okabe, bakal mengadili perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Okabe akan dibantu oleh dua Penolong Pengadil yang juga dari Jepun iaitu Akane Yagi, dan Osamu Nomura.

Sementara pengadil tempatan, Razlan Joffri Ali, diletakkan sebagai pengadil keempat atau pengadil simpanan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola sepak Malaysia, FAM, Stuart Ramalingam dalam kenyataan berkata ia adalah pertama kali dalam sejarah, FAM dan Malaysian Football League, MFL melantik pengadil dari luar negara untuk aksi final liga domestik.

Okabe yang merupakan pengadil utama bagi saingan Liga J one, telah menjadi Pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa, FIFA sejak tahun 2015.

Dia berpengalaman mengendalikan perlawanan pada Sukan Universiti Dunia, Universiade 2015 di Gwangju, Korea Selatan, Universiade 2017, Chinese Taipei dan Sukan Asia 2018 Indonesia.

Selain itu, Okabe juga adalah pengadil bagi perlawanan Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC dari 2016 hingga 2019.