Monday, August 26, 2019
updated 3:04 AM UTC, Aug 26, 2019

KBS lulus permohonan naik taraf balapan, stadium Kompleks Sukan dan Rekreasi MPSP

  • Published in Sukan

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menaik taraf dan membaiki balapan serta stadium di Kompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Jalan Betek, di sini berikutan tempat itu antara tumpuan orang ramai bersukan dan beriadah.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kementeriannya menunggu permohonan lengkap berhubung kerja naik taraf serta baik pulih itu, sebelum menentukan jumlah peruntukan yang akan disalurkan.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas merasmikan Program Fit Malaysia Zon Utara di Kompleks Sukan dan Rekreasi MPSP, di Bukit Mertajam hari ini.

Kira-kira 25,000 orang menyertai program Fit Malaysia anjuran KBS yang berteraskan matlamat merakyatkan sukan semua peringkat akar umbi, serta membudayakan sukan bagi kesejahteraan serta kesepaduan negara.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata sambutan program itu di Pulau Pinang sangat baik, malah menerima penyertaan tertinggi setakat ini dan ia sesuatu yang membanggakan.

Beliau berkata Pulau Pinang merupakan lokasi ketiga penganjuran program Fit Malaysia selepas Selangor bagi Zon Tengah dan Terengganu (Zon Pantai Timur) yang sebelum ini dihadiri kira-kira 17,600 orang.

kementerian berharap rakyat akan terus membudayakan amalan bersukan ini untuk edisi jelajah akan datang, yang akan kita adakan di Johor bagi Zon Selatan dan Sabah (Zon Timur Malaysia) tidak lama lagi.