Wednesday, April 25, 2018
vital-top
updated 3:37 PM UTC, Apr 25, 2018

Satu Litar Lumba Di Setiap Negeri – Khairy

  • Published in Sukan
Foto - Bernama

TANGKAK – Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) menyasarkan  sebuah litar lumba akan dibina di  setiap negeri bagi melahirkan  lebih ramai bakat muda dalam sukan permotoran untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata KBS berhasrat untuk mencapai sasaran tersebut dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun ini.

Beliau berucap merasmikan Litar Lumba Tangkak dan Kejuaraan Cub Prix Malaysia ke-25 di sini.

 

Khairy berkata  kerajaan telah membina litar-litar bagi menyokong dan menaikkan industri sukan permotoran negara dan yang terbaru, kerajaan akan membina Litar Lumba Sukan Bermotor Negeri Pahang di Jengka pada tahun ini.

Beliau berkata litar sepanjang 2.4 kilometer bernilai RM40 juta itu mampu menampung kapasiti penonton seramai 2,000 orang.

Katanya pembinaan litar-litar lumba di seluruh negara diharap mampu menambah bilangan sirkit perlumbaan seperti Kejuaraan Cub Prix yang merupakan pemangkin kepada perkembangan sukan permotoran negara .

Beliau berkata  kerajaan turut komited dalam menyediakan  prasarana dan kemudahan sukan bermotor kepada rakyat Malaysia dan dalam  tempoh 2014 sehingga kini, KBS telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi program pembangunan sukan permotoran.

((BERNAMA))