Sunday, June 24, 2018
vital-top
updated 9:22 AM UTC, Jun 24, 2018

Kompleks Sukan Baharu Bernilai RM9 Juta Bakal Dibina Di DUN Jabi, Terengganu

  • Published in Sukan
Foto - BERNAMA

KUALA NERUS - Terengganu akan menerima sebuah lagi kompleks sukan baharu bernilai RM9 juta yang bakal dibina dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi di Parlimen Setiu sebagai kemudahan untuk rakyat di sekitar kawasan berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy  Jamaluddin berkata Terengganu ini memang antara kuasa sukan utama di Malaysia di mana bidang sukannya sangat menyerlah dan sangat hebat.

Beliau berkata ia adalah kemudahan sukan yang ketiga untuk Terengganu selepas kompleks sukan di Telemong, Hulu Terengganu dan Velodrom Azizulhasni Awang di Dungun yang diumumkan baru-baru ini. 

"Melalui kemudahan-kemudahan sukan baharu ini, kita mahu lebih ramai atlet yang hebat di persada dunia dilahirkan Terengganu seperti Azizul Hasni, Fatehah Mustapa, Anuar Manan dan Harrif Salleh, selepas ini," katanya. 

Foto - BERNAMA

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis perasmian, Khairy berkata kementerian akan mengeluarkan tender dalam masa terdekat.

Anggota Parlimen Rembau itu turut melahirkan rasa gembira berikutan penyertaan 25,000 rakyat Terengganu untuk acara larian dan kayuhan dalam Fit Malaysia hari ini adalah antara tertinggi dalam negara setakat ini.

"Tahun ini, kita akan adakan kajian impak Fit Malaysia selepas tiga tahun dibuat,kajian yang lebih mendalam ini untuk melihat sejauh mana keberkesanan program ini sama ada gerakan Fit Malaysia ini telah berjaya mengubah gaya hidup dan tahap kesihatan rakyat Malaysia. 

"Setakat ini, program Fit Malaysia sangat berjaya, setiap kali kita buat puluhan ribu rakyat yang keluar, cuma sama ada program ini dapat mengubah gaya hidup setiap rakyat Malaysia di peringkat harian,” katanya.

Ditanya sama ada gaya hidup aktif bersukan itu mampu menjadi budaya rakyat Malaysia memandangkan Malaysia masih menjadi 'juara' obesiti di Asia Tenggara, Khairy berkata ia masih dalam proses namun rakyat Terengganu dilihat sudah menjadikan gaya hidup aktif sebagai rutin mereka.

((BERNAMA))