Sunday, October 22, 2017
vital-top
updated 2:46 PM UTC, Oct 21, 2017

Allianz Jalin Kerjasama Lima Tahun Dengan AFC

 KUALA LUMPUR - Syarikat perkhidmatan kewangan antarabangsa Allianz dan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mengumumkan kerjasama lima tahun serantau.

Dalam kenyataan dikeluarkan Allianz, kerjasama itu merangkumi kejohanan kelab paling penting di Asia termasuk Liga Juara-Juara AFC, Piala AFC dan Kejohanan Kelab Futsal.

Ketua Pegawai Edaran bagi Asia, Lars Heibutzki dalam kenyataan berkata beliau amat berbangga untuk bekerjasama dengan AFC dalam menyokong bola sepak Asia dan mengambil perhatian kerjasama itu memaparkan nilai-nilai Allianz iaitu inovasi, keberanian dan kecemerlangan.

Sementara itu Ketua Pengurusan Pemasaran Bagi Asia Allianz, Paul Groves berkata kerjasama itu menyediakan platform unik kepada Allianz untuk menyokong segmen-segmen besar dalam masyarakat Asia, yang amat meminati sukan bola sepak dan merupakan sebahagian penting dalam kehidupan mereka.

Penajaan kategori eksklusif itu selaras dengan usaha Allianz dalam sukan bola sepak global untuk berhubung rapat dengan pelanggannya di pasaran utama di Asia, dan pada masa sama memperluaskan kehadiran jenamanya dalam pertumbuhan di rantau itu.

Beribu pejabat di Kuala Lumpur, AFC ialah satu daripada enam persekutuan dalam FIFA, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa.

Ia dianggotai 46 persatuan di Asia, Australasia dan Timur Tengah, dengan keseluruhan populasi 4.27 bilion orang.

((BERNAMA))