Sunday, October 20, 2019
updated 2:49 PM UTC, Oct 20, 2019

Perak mara ke final Piala FA 2019

  • Published in Sukan

 

 

PERAK - Perak berjaya menundukkan juara bertahan, Pahang 3-0 di Stadium Perak malam tadi untuk mara ke final Piala FA 2019.

Pencapaian itu sekaligus memadam kemenangan 3-1 Pahang ketika perlawanan pertama di Kuantan minggu lepas.

Sepanjang 90 minit perlawanan anak buah Mehmet Durakovic mempamerkan aksi penuh meyakinkan.

Jangkaan Pahang akan mampu melepasi tuan rumah meleset apabila setiap pemain tuan rumah bergandingan tenaga untuk membuat Pahang berputih mata.

Brendan Gan menggamatkan stadium dengan menanduk masuk sepakan sudut Firdaus Saiyadi 1-0 di minit-35 menewaskan Heliza Helmi.

J. Partiban yang sentiasa menjadi duri dalam daging kepada benteng pelawat menjadikan kedudukan 2-0 dengan merembat masuk hantaran Careca tujuh minit kemudian untuk menyamakan agregat 3-3.

Nasib malang Pahang berterusan apabila Mohd Faisal Rosli tertendang bola silangan Nor Hakim Hassan ke dalam gol sendiri selang beberapa minit kemudian.

Walaupun pelawat cuba bangkit di babak kedua tetapi tidak ada apa yang mampu dilakukan mereka untuk menyelamatkan Tok Gajah.