Wednesday, November 13, 2019
updated 3:05 PM UTC, Nov 13, 2019

Harga Fayadh, Fadzrul RM5 juta

  • Published in Sukan

ALOR SETAR - Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bersetuju melanjutkan tempoh kontrak dua pemainnya iaitu Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin dan Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam daripada 3 tahun kepada 5 tahun.

Ia bagi mengelak tragedi yang berlaku terhadap Akhyar Rashid berulang kembali.

Perlanjutan tersebut berdasarkan prestasi semasa kedua-dua pemain yang kini berusia 21 tahun.

Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris dalam satu kenyataan berkata lanjutan kontrak itu juga akan turut disertakan dengan harga tanda tebus nilai sebanyak RM5 juta bagi kedua-dua pemain selaras dengan potensi dan juga bakat yang mereka miliki.

KFA akan memuktamadkan perjanjian serta lanjutan kontrak ini sejurus selepas aksi Separuh Akhir Pertama Shopee Piala FA 2019 antara pasukan Kedah menentang Felda United di Stadium Darulaman, malam ini.

Langkah ini sejajar dengan misi dan visi persatuan yang komited menjaga kebajikan serta bakat setiap pemain yang bernaung dibawah persatuan.

Selain itu ia juga bertujuan untuk memastikan situasi menang-menang antara persatuan dan pemain jika pemain mendapat tawaran beraksi ke peringkat yang lebih tinggi kelak.