Saturday, October 21, 2017
vital-top
updated 5:20 AM UTC, Oct 21, 2017

Sultan Ibrahim Perkenan TMJ Bertanding Presiden FAM

JOHOR BAHRU - Harapan menyaksikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin hampir menjadi kenyataan.

Pertemuan 14 anggota gabungan FAM dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menyaksikan baginda berkenan mengizinkan TMJ bertanding jawatan Presiden FAM pada 25 Mac ini. 

Kata keputusan itu diperoleh dalam pertemuan tertutup kira-kira sejam antara Sultan Ibrahim dan 14 anggota gabungan FAM itu di Istana Pasir Pelangi, di sini.

Menurut jurucakap kumpulan itu, Datuk Wira Mohd Yusof Mahadi, dengan perkembangan terbaru, beliau tidak nampak ada sebarang masalah untuk Tunku Ismail bertanding jawatan berkenaan. 

Selain Tunku Ismail, tiga nama lain yang dicalon untuk jawatan Presiden FAM itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Aseh Che Mat.

Kongres FAM akan diadakan pada 25 Mac nanti dan senarai akhir calon akan dibentangkan kepada Exco FAM pada 20 Feb bagi menentukan calon yang layak bertanding pada kongres bagi memilih barisan kepemimpinan untuk penggal 2017-2021.

((BERNAMA))