Sunday, May 27, 2018
vital-top
updated 3:12 AM UTC, May 27, 2018

70 Penunggang Wanita Sertai Asian Women's Force Ride 2018

  • Published in Sukan

PUTRAJAYA - Seramai 70 penunggang wanita dari negara Asia termasuk Malaysia hari ini menyertai konvoi bermotosikal Asian Women's Force Ride 2018 bersempena dengan semangat Tahun Memperkasa Wanita 2018 dan Hari Wanita Sedunia, yang disambut semalam. 

Acara pelepasan konvoi dari perkarangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Presint 4 di sini, disempurnakan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Suriani Ahmad. 

Peserta konvoi dari Brunei, Thailand, Singapura, Indonesia dan Bangladesh merupakan anggota    Women's International Motorcycle Association (WIMA).

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Suriani berkata program julung kali itu menonjolkan sifat keberanian dan kegigihan wanita menunggang motosikal pelbagai kuasa di samping memberi sokongan dan inspirasi kepada kaum wanita di luar sana.

 

Sebagai simbolik perasmian, Datuk Suriani turut menunggang motosikal berkuasa tinggi di perkarangan kementerian.

Sementara itu, Presiden WIMA Nor Zaidah Saidin berkata konvoi selama tiga hari bermula hari ini itu melibatkan 87 motosikal berkuasa 150 cc hingga 1,800 cc termasuk masing-masing lapan pegawai pengiring polis wanita dan lelaki.

Destinasi pertama konvoi terbabit adalah di Sungai Petani (Kedah), diikuti Batu Gajah, Teluk Intan dan Sungai Perak (Perak), katanya. 

((BERNAMA))