Sunday, May 27, 2018
vital-top
updated 3:12 AM UTC, May 27, 2018

Tempoh Seminggu Penuh Bermakna Buat Skuad Ragbi 7's Negara

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR – Skuad  ragbi tujuh sepasukan (7's) negara bakal menimba satu pengalaman berharga apabila menjalani latihan selama seminggu bersama-sama bekas kapten 7’s New Zealand All Blacks, Derek Jamie Forbes, yang dijadual tiba di sini pada 24 Mac ini.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata bintang yang lebih dikenali sebagai DJ Forbes itu akan bergandingan dengan barisan kejurulatihan tempatan di Ipoh dalam usaha mempersiapkan  skuad kebangsaan menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Meskipun seminggu itu suatu tempoh yang singkat, beliau berharap kehadiran ikon ragbi dunia itu, yang bertanggungjawab memastikan kilauan pingat emas Sukan Komanwel 2006 dan gelaran juara Piala Dunia 7's 2013 menjadi milik New Zealand, dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain negara.

 

Pada masa sama, Datuk Shahrul berkata KRM komited untuk mengangkat martabat sukan ragbi negara namun, menyifatkan faktor kewangan sebagai penghalang utama bagi merealisasikan impian itu.

Menurutnya KRM berhasrat mendapatkan khidmat jurulatih luar sepenuh masa yang memiliki pengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa seperti Forbes untuk melatih kedua-dua skuad 7's dan 15 sepasukan (15's) negara.

((BERNAMA))