Sunday, October 22, 2017
vital-top
updated 2:46 PM UTC, Oct 21, 2017

Terengganu Kesal Penganjur Gugurkan Laluan Perlumbaan LTdL

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu kesal dengan tindakan penganjur yang menggugurkan laluan perlumbaan di negeri itu bagi saingan Le Tour de Langkawi (LTDL) 2017.

Biarpun tahun ini Terengganu menarik diri sebagai penaja perlumbaan, namun keputusan mengubah laluan perlumbaan seolah-olah tidak menghargai sumbangan negeri berkenaan dalam pembangunan sukan berbasikal Negara.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman nyata terkilan dengan tindakan penganjur LTDL 2017 yang membuat keputusan tersebut tanpa sebarang perbincangan dengan kerajaan negeri.

Negeri Terengganu begitu sinonim dengan setiap perlumbaan basikal di negara ini terutamanya memiliki sebuah pasukan professional Terengganu Cycling Team (TSG) yang telah melahirkan ramai jaguh berbasikal seperti pakar pecut Anuar Manan, Harriff Salleh dan raja bukit Muhammad Adiq Husaini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan RTM di Kuala Terengganu.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif LTDL 2017,  Emir Abdul Jalal pengumuman laluan baharu LTDL 2017 dijangka akan  diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin minggu hadapan. 

Pada majlis pelancaran Disember lalu, majlis pengenalan pasukan dijadual berlangsung di Terengganu disusuli dua peringkat pertama perlumbaan bermula dari Kuala Berang ke Kuala Terengganu dan peringkat kedua dari Jerteh ke Grik.

 

((RTM))