Thursday, October 19, 2017
vital-top
updated 3:46 PM UTC, Oct 19, 2017

Kehadiran Dua Tonggak Import Baharu, Kuatkan Pasukan T-Team

KUALA TERANGGANU - Menjelang aksi pertama Liga Super Sabtu ini, kehadiran dua tonggak import baharu, dilihat mampu memperkuatkan pasukan T-Team dalam mengharungi kancah Liga Malaysia musim ini.

Jelas Ketua Jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, beliau yakin kehadiran kedua-dua pemain tersebut mampu memperkemaskan lagi pasukannya.

Kebolehan Mamadou Samassa untuk beraksi di dua posisi penyerang dan tengah, bakal menjadi kelebihan buat pasukan khususnya di bahagian jentera hadapan.

Manakala khidmat pemain dibahagian serangan dari Uzbekistan, Farhod Tadjiev diibaratkan seperti sireh pulang ke gagang' menggantikan kekosongan ditinggalkan Patrick Dos Santos Cruz.

Selain itu The Titans' juga masih menggunakan khidmat dua pemain import musim lalu, Abdoulaye Youssouf Maiga yang bermain di benteng pertahanan dan tonggak tengah, Dilshod Sharofetdinov.

Sementara itu, mengulas persiapan untuk perlawanan pertama Liga Super selaku tuan rumah bertemu Sarawak Sabtu ini, Rahmad mengakui sudah pun memiliki senarai kesebelasan terbaik untuk diturunkan.

Namun begitu ia juga bergantung kepada prestasi pemain ketika sesi latihan. Malah kesemua mereka termasuk 40 peratus muka baharu T-Team musim ini, dilihat begitu bersemangat dalam perebutan tempat di kesebelasan utama.