Thursday, October 19, 2017
vital-top
updated 3:46 PM UTC, Oct 19, 2017

Badminton: Beregu Peng Soon-Liu Ying Tarik Diri Kerana Kecederaan

SIBU - Beregu campuran yang memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, tidak akan berentap pada Kejohanan Victor Far East Malaysia Masters di Stadium Tertutup Sibu di sini, yang bermula esok.

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Lawrence Chew berkata mereka tidak dapat beraksi kerana Liu Ying mengalami kecederaan pada kakinya.

Beliau menyatakan demikian  semasa meninjau persiapan akhir kejohanan itu di stadium tersebut.

Beregu pilihan pertama kejohanan itu dijadualkan bertemu pasangan Indonesia Yehezkiel Mainaky-Lyanny Ale Mainaky pada pusingan pertama perlawanan kelayakan itu esok.

Beberapa pemain lain, yang sudah mendaftar bagi kejohanan itu, turut menarik diri tetapi nama mereka akan hanya diketahui selepas menyuarat pengurus-pengurus pasukan petang ini.

Sehingga kini, kira-kira 90 peratus pemain sudah tiba di Sibu dan berlatih di gelanggang kejohanan di Stadium Tertutup Sibu.

Kejohanan itu, yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak US$120,000 bermula dengan pusingan kelayakan pada 8.30 pagi esok.

Tiada bayaran dikenakan untuk masuk menyaksikan kejohanan itu di Stadium Tertutup Sibu.

 

((Bernama))