Wednesday, June 26, 2019
updated 12:25 PM UTC, Jun 26, 2019

Penyandang juara JDT kembali mengungguli carta liga

  • Published in Sukan

Foto : FB johor Southern Tigers


LARKIN - Aksi Liga Super 2019 malam tadi menyaksikan penyandang juara, Johor Darul Takzim, (JDT) kembali mengungguli carta liga.

Ia hasil kemenangan 3-1 ke atas Felda United di laman sendiri.

Perlawanan malam tadi turut menyaksikan tiga pemain Felda United dilayangkan kad pada separuh masa kedua.

Separuh masa pertama berlangsung tanpa sebarang jaringan dihasilkan kedua-dua pasukan.

Kad merah pertama pelawat dikenakan terhadap Zahril Azri Zabri pada minit ke-60 selepas mengasari Natxo Insa.

Harimau Selatan terus beraksi cemerlang dan berjaya menerjah gawang pasukan pelawat melalui Gonzalo Cabrera pada minit ke-87.

Tidak menunggu lama, Felda United menyamakan kedudukan melalui sepakan Jocinei Schad pada minit ke-90.

Keadaan semakin tegang apabila dua lagi pemain Felda United, Thiago Junio De Aquino dan Kapten, Muhammad Hadin Azman diarah keluar padang ketika aksi memasuki masa tambahan.

Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Diogo Luis Santo masing-masing menjaringkan satu gol dalam tempoh lapan minit tambahan masa.

Keputusan kekal 3-1 hingga tamat perlawanan.