Monday, June 24, 2019
updated 12:39 PM UTC, Jun 24, 2019

Kelab penyokong Kedah lancar kempen 'Satu penyokong satu bendera'

  • Published in Sukan



KEDAH - Kelab-kelab penyokong bolasepak Kedah G-32 melancarkan kempen "satu penyokong satu bendera" bermula dengan perlawanan Kedah bertemu Johor darul Takzim, JDT FC di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.

Langkah itu bukan sahaja bertujuan untuk menyuntik semangat para pemain Kedah ketika beraksi, malah mampu menaikkan semangat puluhan ribu penyokong setia Hijau Kuning yang membanjiri Stadium Darul Aman.

Jurucakap Kelab-kelab penyokong Bolasepak Kedah G32, Azmi Abdullah berkata, ia adalah inisiatif kelab-kelab penyokong bagi mengembalikan semula kemeriahan dan meng"hijaukuning"kan stadium darul aman.

Pertembungan antara Kedah bertemu JDT FC Jumaat ini bakal menjanjikan aksi menarik dengan kedua-dua pasukan yang mahu mengutip tiga mata penuh.

Kedah kini berada di kedudukan ke 3 Liga Super dengan mengutip 11 mata dibezakan dengan 5 mata oleh pendahulu carta, JDT FC.

Dengan rekod bolos antara yang terendah dengan hanya bolos 2 gol setakat 6 perlawanan liga dan rekod jaringan 9 gol, tidak mustahil JDT FC dapat ditewaskan dengan sorakan dan sokongan padu lebih 25 ribu penyokong setia Hijau Kuning.

Walaupun rekod kemenangan antara kedua-dua pasukan lebih memihak kepada JDT FC, namun pertembungan terakhir di Alor Setar musim lepas menyaksikan skuad hijaukuning berjaya menumpaskan lawan 3-1 dalam kancah saingan Piala Malaysia.

Perlawanan itu juga akan menyaksikan kepulangan Akhyar Rashid, pemain lincah yang pernah mencetuskan kontroversi berkaitan isu perpindahan dari Kedah ke JDT FC, hujung musim lalu.