Logo

Empat "ubi kedah" pamer semangat jitu bersama Akademi Bolasepak Cardiff City FC

CARDIFF, UNITED KINGDOM  - Bolasepak.

Pemain muda Kedah, Aminuddin Abu Bakar mempamerkan aksi cemerlang termasuk menyumbang satu gol ketika membantu skuad bawah 23 tahun Akademi Bolasepak Cardiff City menewaskan pasukan Top Level Sports Academy, 3-1 pada perlawanan persahabatan, baru-baru ini.

Aminuddin bersama tiga lagi pemain Kedah iaitu Mohd Fazrul Danel Nizam, Muhammad Asri Mohamad dan Muhammad Suhaimie Saad kini sedang menjalani latihan bersama Akademi Bolasepak Cardiff City selama sebulan sehingga 10 April ini.

Persatuan Bolasepak Kedah, KFA dalam satu kenyataan berkata keempat-empat pemain muda terbabit turut diberi peluang beraksi pada perlawanan tersebut.

Peluang berlatih bersama akademi berkenaan memberi pengalaman berguna kepada mereka untuk membantu skuad Liga Super dan skuad Piala Presiden Kedah pada saingan kejohanan tempatan apabila pulang ke tanah air tidak lama lagi.

Penghantaran pemain terbabit adalah hasil kerjasama dibawah projek pembangunan bolasepak antara KFA dan Akademi Bolasepak Cardiff City FC.

Untuk rekod, akademi yang bernaung dibawah Cardiff City Football Club, CCFC yang kini beraksi di Liga Perdana Inggeris ini dimiliki ahli perniagaan dari Malaysia, Tan Sri Vincent Tan.

Projek khas ini memasuki siri keduanya selepas projek sulung kerjasama antara dua kelab ini telah dilaksanakan dengan jayanya pada tahun 2015.

Sepanjang berada di Cardiff City, Fazrul yang diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama skuad Liga Super Kedah musim ini terlepas beberapa aksi penting termasuk perlawanan menentang Johor Darul Takzim, JDT di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.

 

((RTM KEDAH/FAKRUL RAZI)) 

 

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.