Sunday, October 22, 2017
vital-top
updated 2:46 PM UTC, Oct 21, 2017

RM2.5 Juta Untuk Naik Taraf Kemudahan Sukan Di Kulim

KULIM - Majlis Sukan Daerah Kulim memohon sebanyak RM2.5 juta untuk menaik taraf dan menambah prasarana sukan di daerah ini bagi melahirkan atlet bertaraf dunia.

Anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata ia sebagai persediaan melahirkan lebih ramai atlet dari Kulim ke peringkat lebih tinggi.

"Antara prasarana yang kita masukkan dalam permohonan kepada Majlis Perbandaran Kulim untuk dinaik taraf itu adalah Stadium Mini Keladi.

"Dalam masa yang sama, kita turut memohon untuk membina satu lagi stadium di Taman Bandar Mahkota dekat sini," katanya pada Majlis Pemberian Insentif Atlet Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) di Taman Burung, Kulim di sini hari ini.

Seramai 149 atlet yang meraih pingat di temasya SUKDA pada Disember lalu menerima insentif sebanyak RM200 serta sijil.