Logo

Juara dunia rebut Anugerah SAM -100 Plus 2018

Foto : FB Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia

SELANGOR - Enam juara dunia disenarai pendek bagi merebut Anugerah Atlet Terbaik Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) - 100 Plus 2018 yang akan berlangsung 10 April ini.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Enam juara dunia yang bakal dipilih untuk dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Anugerah SAM-100 Plus tahun ini ialah jaguh berbasikal trek Mohd Azizulhasni Awang, Cheong Jung Hoong dan Pandalela Rinong dari sukan terjun, ratu gimrama Amy Kwan Dick Weng, pesilat Mohamad Hazim Amzad dan atlet muda dari sukan boling yang kian meningkat naik Muhd Rafiq Ismail.

Bagi Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik pula akan menyaksikan saingan empat penjuru antara atlet olahraga iaitu Abdul Latiff Romly, Mohd Ziyad Zolkefli dan Mohd Ridzuan Mohamad Puzi serta atlet powerlifting Bonnie Bunyau anak Gustin.

Pemenang kedua-dua anugerah utama ini akan menerima hadiah wang tunai RM 10,000 dan sebuah trofi.

Penaja utama 100PLUS juga berbesar hati mewujudkan anugerah khas iaitu 'Anugerah Personaliti Sukan 100 PLUS Active' .

Seramai 15 personaliti sukan tersenarai dan orang ramai boleh membuat undian menerusi LAMAN FACEBOOK RASMI 100 Plus bermula hari ini hingga 7 April depan.

Majlis Anugerah kali ini juga lebih istimewa kerana ia bersempena ulang tahun ke-50 SAM.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.