Friday, August 23, 2019
updated 8:57 AM UTC, Aug 23, 2019

Tiket perlawanan Antarabangsa Harimau Malaya akan menggunakan sistem imbasan Kod QR

  • Published in Sukan

Foto : Laman Sesawang Persatuan Bolasepak Malaysia, FAM,

SELANGOR - Persatuan Bolasepak Malaysia, FAM, mengumumkan tiket bagi semua perlawanan antarabangsa Harimau Malaya, dari 17 hingga 26 Mac ini, akan menggunakan sistem imbasan Kod QR bagi kemasukan penonton ke dalam stadium.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan media menjelaskan, pelaksanaan sistem Kod QR itu merupakan usaha FAM untuk merevolusikan sistem penjualan tiket dan kemasukan penyokong ke stadium yang lebih sistematik.

Sistem Kod QR ini akan mula dilaksanakan pada perlawanan persahabatan antarabangsa B-22, Malaysia bertemu Australia di Stadium Shah Alam malam ini, diperluaskan pada kejohanan empat negara PIALA AIRMARINES 2019 dan saingan KELAYAKAN B23 AFC 2020.

Stuart berkata sistem itu dijalankan menerusi kerjasama antara FAM dengan dua syarikat pengendali tiket iaitu Tickethotline International Sdn Bhd dan Proticket Malaysia Sdn Bhd melalui ProEvents.

Dengan perlaksanan sistem ini, peminat yang membeli tiket secara on line tidak perlu lagi ke kaunter penebusan tiket, sebaliknya hanya perlu menunjukkan kod QR yang di e-mel untuk diimbas petugas di pintu masuk.

Bagaimanapun bagi penyokong yang membeli tiket Piala AIRMARINE 2019 dan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 secara dalam talian tetapi tetap mahu mendapatkan tiket fizikal untuk dijadikan koleksi, mereka boleh membuat pilihan untuk menebus tiket di kaunter ketika membuat pembelian secara dalam talian.

Dalam masa sama, FAM masih akan membuka kaunter tiket fizikal seperti biasa pada hari perlawanan mengambil kira faktor terdapat juga peminat yang tidak berpeluang berbuat demikian.

Bagi mereka yang ingin membeli tiket Piala AIRMARINE 2019 secara dalam talian, boleh layari laman web www.proticket.com.my .

Sementara itu, tiket perlawanan-perlawanan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 pada 22, 24 dan 26 Mac 2019 pula sudah mula dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my.