Wednesday, June 26, 2019
updated 12:25 PM UTC, Jun 26, 2019

Yusry Che Lah letak jawatan ketua jurulatih

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR - Ketua Jurulatih Bola Sepak Kuala Lumpur, Yusry Che Lah menjadi jurulatih pertama musim ini mengumumkan perletakan jawatan serta merta.

Keputusan dibuat atas rasa kebertanggungjawaban prestasi hambar skuad City Boys dalam saingan Liga Super yang mencatat kekalahan kelima berturut-turut sekaligus berada di kedudukan terbawah liga.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa; walaupun agak berat menerima keputusan yang dibuat oleh Yusry sendiri, namun setelah berbincang dari hati ke hati termasuk bersama pengurus pasukan Mohamad Hamidi Abu Bakar, pihak pengurusan menerima dengan hati terbuka.

KLFA juga mendapati desakan segelintir penyokong dilihat antara faktor Yusry yang pernah membimbing Kelantan mengambil keputusan berkenaan.

Buat sementara waktu penolong jurulatih Chong Yee Fatt akan mengambil tugas sebagai pengendali sementara sehingga pengganti baharu dikenal pasti oleh KLFA.

Sementara itu Yusry Che Lah tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak.

Keputusan diambil atas kerelaan hati dan demi kebaikan pasukan.

Bagi Yusry, beliau mengambil sikap tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang dihadapi pasukan ketika ini.

Ujar beliau aksi awal bertemu pasukan berstatus gergasi - Pahang, JDT, Terengganu, Melaka dan Selangor antara punca pasukan masih kurang bernasib baik menghadirkan keputusan positif.

Tambah Yusry buat masa ini, beliau masih belum mahu memikirkan hala tuju seterusnya dan ingin berehat buat seketika.