Thursday, August 22, 2019
updated 3:16 PM UTC, Aug 22, 2019

MSN tidak gugur atlet sewenang-wenangnya

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR - Majlis Sukan Negara (MSN) tidak akan menggugurkan atlet-atlet negara dengan sewenang-wenangnya tanpa sebab yang munasabah, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Merujuk kepada dakwaan bekas atlet berbasikal para negara, Mohamad Syazwan Roshdi dalam sebuah laporan portal tempatan, Ahmad Shapawi berkata pihaknya akan menyediakan kemudahan latihan dan pertandingan kepada atlet yang sentiasa menunjukkan peningkatan prestasi dan mempunyai potensi untuk berjaya di peringkat antarabangsa.

Ahmad Shapawi menerusi satu kenyataan rasmi hari ini berkata, pemenang pingat emas berbasikal lebuh raya kategori C1, C2, C3 (pelbagai kecacatan anggota) Sukan Para ASEAN (APG) ke-9 itu sendiri telah maklum tentang limitasi peningkatan prestasi beliau sebelum digugurkan daripada program untuk 2019.

Menurut kenyataan itu, pelumba tersebut juga telah diberikan peluang untuk mempertingkatkan lagi daya kayuhannya bagi menyaingi atlet yang lebih rendah kategori daripadanya, kerana jika pertandingan melibatkan ‘factored event’ (kombinasi C1, C2 dan C3) bagi acara trek, ianya akan memberi kekurangan kepada beliau untuk memberi saingan.

Ahmad Shapawi berkata pelumba itu terpaksa digugurkan kerana prestasinya tidak menunjukkan sebarang peningkatan pada 2018 selepas empat jurulatih berbasikal para iaitu ketua jurulatih Johari Nayan, pembantu jurulatih Salehuddin Mohd Noh, Mohd Fitri Marzuki dan Iqbal Sokri sebulat suara memutuskan untuk tidak mengekalkannya.