Wednesday, October 18, 2017
vital-top
updated 3:22 AM UTC, Oct 18, 2017

Malaysia Cougar Juara Piala Supermokh Bawah 14 Tahun

KUALA LUMPUR - Pasukan bola sepak cilik negara ‘Malaysia Cougar’ muncul juara Piala Supermokh kategori bawah 14 tahun, selepas berjaya menundukkan kelab dari Portugal, Sporting CP 1-0, pada aksi final di padang MSN Bukit Jalil. 

Sebaik bermula, perlawanan berlangsung sengit dengan pasukan dari Portugal itu lebih banyak mendominasi permainan dengan melakukan percubaan berbahaya di gawang Malaysia. 

Namun kemantapan penjaga gol yang juga kapten pasukan, Sikh Izhan Nazrel berjaya menafikan setiap percubaan pasukan lawan.  

Penyerang Luqman Hakim Shamsudin muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada babak kedua, untuk memastikan tuan rumah memahat nama selaku juara buat kali pertama bagi kategori bawah 14 tahun selepas tiga edisi.

Jaringan itu bagaimanapun dibantah Sporting yang mendakwa Luqman sudahpun berada dalam keadaan 'offside', namun pengadil perlawanan tetap mengesahkan jaringan tersebut.

Keputusan itu menyaksikan skuad bawah 14 tahun kendalian Lim Teong Kim itu muncul juara buat kali pertama di kejohanan ini.

Lebih manis ini kali kedua skuad kendalian Teong Kim mengalahkan Sporting CP pada final, selepas mereka membuat perhitungan dalam Piala Iber Costa Costa del Sol di Sepanyol tahun lalu dengan kemenangan 2-1.

Dalam pada itu Sporting CP menebus kehampaan mereka dengan memenangi kategori Bawah 12 tahun dengan mengalahkan Gimpo JIJ FC dari Korea Selatan dengan kemenangan 2-0 dalam satu lagi perlawanan akhir .

Medal dan piala kejuaraan disampaikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.