Sunday, October 22, 2017
vital-top
updated 2:46 PM UTC, Oct 21, 2017

Melaka Sasar Kedudukan Terbaik Liga Hoki Remaja - PHM (2)


MELAKA, 9 Dis (Bernama) -- Melaka mendapat suntikan semangat baharu bagi memburu kedudukan terbaik pada Liga Hoki Remaja (LHR) 2016 selepas skuad senior negeri itu menjuarai Kejohanan Piala Tun Razak, Ahad lepas.

Kejayaan Melaka menjulang piala berprestij itu selepas mengalahkan juara bertahan Perak 1-0 itu telah menyemarakkan semangat Persatuan Hoki Melaka (PHM) merancang pelbagai program bagi memastikan kesinambungan prestasi mereka.

Presiden PHM, Habibul' Ajmi Manggar berkata mereka sedang merancang pelbagai program pembangunan dan latihan untuk mencungkil lebih banyak bakat baharu termasuk di peringkat sekolah.

Justeru, sasaran selepas ini adalah untuk memastikan pasukan negeri bawah 19 tahun dapat mencapai kedudukan terbaik dalam LHR 2016 yang bermula Januari hingga Mac depan, katanya.

"LHR adalah platform untuk mengenal pasti pemain berpotensi untuk diserapkan dalam skuad senior negeri,"katanya pada sidang media sempena kejayaan Melaka menjulang piala itu buat kali ketiga selepas 2005 dan 2009.

Selain LHR, katanya, PHM juga akan memastikan pasukan pelapis iaitu bawah 14 tahun dan bawah 19 tahun diberi tumpuan dan pendedahan dengan membawa mereka bermain bersama pasukan senior Melaka.

Katanya mereka berminat menghantar pasukan remaja mengambil bahagian dalam semua pertandingan anjuran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebagai sokongan kepada badan induk hoki itu.

"Kita juga akan memberi tumpuan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak dan juga program pembangunan di peringkat sekolah bagi menarik minat pelajar dalam sukan hoki," katanya.

Tagged under MWC 2014 video mobile 2014