Saturday, October 21, 2017
vital-top
updated 2:46 PM UTC, Oct 21, 2017

PKNS FC Optimis Capai Kata Sepakat Dengan FAS Berhubung Pendaftaran Liga-M 2017

KUALA LUMPUR - Kelab bola sepak PKNS FC optimis kemelut mereka dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berhubung pendaftaran pasukan berkenaan dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2017 dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.   

Setiausaha Kehormat PKNS FC Md Adi Harmizi Ariffin berkata pihak pengurusan sudah menghantar surat rayuan terbaharu kepada FAS, semalam bagi menyokong penyertaan kelab itu dalam Liga-M.   

Md Adi mengakui kemelut yang melanda kedua-dua pihak sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada persediaan kepada skuad Semut Merah dalam menghadapi saingan Liga Super, namun mereka telah memberi penjelasan kepada pemain pasukan berkenaan supaya fokus pada sesi latihan yang bermula semalam.   

Ditanya sekiranya FAS masih 'berdegil' untuk tidak menyokong penyertaan PKNS FC dalam Liga-M 2017, beliau menjelaskan pengurusan pasukan akan terus memujuk FAS selain mendapatkan pandangan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

FMLLP yang mentadbir saingan Liga-M, dilaporkan memberikan tempoh lanjutan sehingga 9 Disember kepada PKNS FC untuk menyelesaikan isu berkenaan walaupun tarikh pendaftaran pasukan untuk musim depan sudah ditutup pada Rabu.   

Media sebelum ini dilaporkan berkata FAS tidak menyokong penyertaan pasukan PKNS FC dalam Liga-M 2017 dan perkara itu turut dimaklumkan kepada FAM dan FMLLP.   

Artikel 4.1.3(I) Liga-M mensyaratkan hanya pasukan kelab yang dicalonkan dan disokong persatuan bola sepak negeri dan mematuhi peraturan FAM, layak menyertai Liga-M.