Saturday, October 21, 2017
vital-top
updated 5:20 AM UTC, Oct 21, 2017

Usaha Perkasa Sukan Dalam Kalangan Belia India Akan Diteruskan

NILAI - Usaha memperkasakan sukan khususnya dalam kalangan belia India untuk melahirkan atlet pelapis kebangsaan dan antarabangsa akan diteruskan meskipun berdepan kekangan kewangan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan berkata, usaha itu perlu dilipatgandakan dengan bantuan dan kerjasama syarikat korporat serta individu kearah pembangunan sukan negara.

"Kita sudah lihat peningkatan pembabitan golongan belia India dalam bidang sukan kebelakangan ini dan hasil terbaharu, pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) berjaya menewaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak-PKNP, 2-1 dalam Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Kejayaan ini juga merupakan langkah buat MISC-MIFA untuk mara dalam Liga Premier tahun hadapan dan perbelanjaan yang diperlukan sekurang-kurangnya antara RM3 juta dan RM6 juta," katanya selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Piala Barathan di Stadium USIM di sini, hari ini.

Beliau berkata, kekangan kewangan yang dialami ketika ini adalah disebabkan krisis ekonomi dunia yang menyebabkan setiap agensi kerajaan melaksanakanperbelanjaan berhemah.

Bagaimanapun Saravanan berkata bagi kejohanan berprestij atau program kesukanan bertaraf kebangsaan adalah tidak wajar dikurangkan kos penganjurannya kerana ia melibatkan semangat dan moral para atlet.

"Kita (rakyat) masih dengan cara lama, duduk di hadapan televisyen dan hanya tahu memberikan komen negatif serta menyalahkan persatuan sukan atau kerajaan. Sudah tiba masanya kita menyumbang demi memperkasakan bidang sukan negara," katanya. 

Kejohanan Bola Sepak Piala Barathan kali ke-57 itu, melibatkan 12 pasukan bola sepak dari seluruh negara dan akan berlangsung tiga hari bermula hari ini.