Sunday, January 21, 2018
vital-top
updated 1:09 AM UTC, Jan 21, 2018

26 Pemain Dipilih Latihan Pusat Selama Dua Minggu Di Mokpo, Korea Selatan

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee telah menyenaraikan 26 pemain dipilih kem latihan pusat selama dua minggu di Mokpo, Korea Selatan dari 17 hingga 30 Disember ini sebagai persiapan menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 yang akan berlangsung di Jiangsu, China dari 9 hingga 27 Januari 2018.

Melalui kenyataan media yang dikeluarkan, Seramai tiga pemain telah digugurkan daripada senarai awal 29 pemain yang menjalani latihan pusat tempatan selama tiga minggu di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Antara pemain tersebut, ialah penjaga gol Amierul Hakimi Awang dari Terengganu FC II dan Sean Eugene Selvaraj dari Selangor serta Danial Ashraf Abdullah dari Kelantan yang mengalami kecederaan.

Terdahulu pada 5 Disember lalu, Kim Swee telah mengumumkan pengguguran penyerang Kedah, Syafiq Ahmad daripada senarai 30 pemain yang dipanggil atas faktor kesuntukan masa memandangkan pemain berkenaan hanya dapat melapor diri lewat kerana melangsungkan perkahwinan.

Skuad 26 pemain ke Mokpo itu akan berlepas pada awal pagi Ahad ini bagi menjalani latihan serta menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa dengan kelab tempatan Korea Selatan iaitu Mokpo City pada 20 Disember, Jeonju University pada 22 Disember dan Jeonju Citizen pada 28 Disember.

Selepas itu, Kim Swee bakal menggugurkan tiga lagi pemain bagi melengkapkan senarai akhir skuad 23 pemain ke Kejuaraan B- 23 AFC 2018 apabila mereka terbang dari Korea Selatan ke Nanjing, China pada 30 Disember untuk satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa pada 5 Januari 2018.

(Sumber - Dalet Beritartm)