Thursday, October 19, 2017
vital-top
updated 3:46 PM UTC, Oct 19, 2017

Johor Bakal Mempunyai Kompleks Sukan Lee Chong Wei

KOTA ISKANDAR - Johor bakal membina sebuah kompleks sukan 'Lee Chong Wei International Sports City' di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kompleks sukan itu akan dibangunkan di atas tanah pajakan milik kerajaan negeri seluas 4.52 hektar.

Pembinaan kompleks yang dinamakan sempena jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei itu akan dilaksanakan oleh pihak swasta dengan kos keseluruhan berjumlah RM100 juta.

Ia juga bakal memiliki stadium badminton, asrama serta akademi badminton, pusat kesihatan dan beberapa kemudahan sukan lain, kata Mohamed Khaled.

"Ia akan menempatkan Johor sebagai satu daripada destinasi akademi latihan badminton bertaraf antarabangsa di peta dunia seperti Frederikshavan Badminton Academy di Denmark, Yeomju Gymnasium di Korea, Dongguan LYB Badminton School di China dan Taufik Hidayat Arena di Indonesia," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Johor 2017 yang bertemakan 'Johor Berkemajuan, Rakyat Sejahtera' pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini. 

Mohamed Khaled berkata tidak cukup dengan itu, Johor turut bercadang membina Stadium Sport City di kawasan Mount Austin, Johor Bahru. 

Katanya, kemudahan yang bakal dibina dengan kos RM89 juta oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) itu memiliki stadium olahraga berkapasiti 5,000 orang, padang latihan serbaguna, infrastruktur dalaman serta kemudahan utiliti.