Sunday, October 22, 2017
vital-top
updated 2:46 PM UTC, Oct 21, 2017

Hujan Lebat Patahkan Hasrat Cobra Bergelar Juara

KUALA LUMPUR - Perlawanan akhir kejohanan Ragbi COBRA 10 Sebelah kategori Cup menyaksikan hujan lebat beserta petir mematahkan hasrat pasukan Cobra untuk bergelar juara apabila tumpas 0-19 kepada ERC Borneo Eagles. 

Pada separuh masa pertama, ERC Borneo Eagles berjaya mencatatkan tiga try menerusi trio import Jona Vugano Tuitoga, Sakiusa Terence Gavidi dan Richard Philip Judd seterusnya membolehkan pasukan dari Sabah ini memperoleh 15 mata. 

Seterusnya Rocky Nishtar Khan pula berjaya menyumbang 4 mata menerusi dua conversion yang dilakukannnya juga pada separuh masa pertama perlawanan.

Beberapa minit selepas bermulanya perlawanan separuh masa kedua, hujan lebat diselangi  petir memaksa perlawanan dihentikan seterusnya memberi gelaran juara kepada ERC Borneo Eagles. 

Ini mengesahkan kemenangan kedua pasukan ERC Borneo Eagles dalam temasya ini selepas kali terakhir menyandangnya pada tahun 2013. 

Bagi perlawanan akhir kategori Bowl Championship, pasukan Panthers Blowpipe muncul juara apabila mencatat kemenangan 35-7 menentang pasukan ragbi dari Afrika Selatan, Duka Old Boys. 

Manakala bagi perlawanan akhir kategori Plate Championship, pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KSDBKL) berjaya menundukkan lawan dari Singapura, Singapore Barbarians dengan 47-7.