Tuesday, January 16, 2018
vital-top
updated 1:07 PM UTC, Jan 16, 2018

Jenazah Alfian Aziz Selamat Dikebumikan

  • Published in Sukan

KUALA TERENGGANU - Jenazah bekas pemain bola sepak Terengganu musim 2001, Alfian Aziz, 36, yang meninggal dunia dalam kemalangan berhampiran Hentian Titiwangsa, Gerik, Perak semalam, selamat dikebumikan pagi tadi.

Allahyarham adalah pembantu am di Pusat Pembangunan dan Harta Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan menjadi jurulatih pasukan bola sepak UMT FC disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim Jalan Pusara pukul 9.50 pagi.

Seorang rakan Allahyarham, Mohd Nizam Mohd Zain, 37 berkata, Allahyarham adalah seorang yang sangat pendiam dan sering membantu sesiapa sahaja yang memerlukan malah mereka bersama-sama terlibat dalam Kejohanan Majlis Sukan-Sukan Universiti Malaysia (Masum) yang dianjurkan Universiti Malaysia Perlis (UniMap) bermula 3 November dan berakhir pada Sabtu lepas.

"Selepas tamat kejohanan, saya dan Allahyarham sempat keluar minum bersama dan sepanjang perjalanan selama sejam itu Allahyarham terlalu seronok bercerita tentang kejayaan UMT masuk ke Divisyen 2 pada tahun depan.

Saya pelik juga sebab Allahyarham ni memang pendiam sangat, tapi disebabkan terlalu gembira dengan kejayaan itu, Allahyarham sembang tak berhenti-henti kerana itulah impiannya sejak lima tahun lalu, tak sangka perubahan itu disebabkan dia hendak meninggalkan kita semua," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengebumian itu

Katanya, selepas itu, kakitangan UMT bertolak balik ke Terengganu, namun Allahyarham pulang sebentar ke Alor Setar, Kedah untuk mengambil isteri dan dua anaknya untuk kembali ke Terengganu.

"Ketika sampai di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perah, saya dimaklumkan mengenai kemalangan yang dialami Allahyarham dan terus ke Hospital Gerik namun dimaklumkan beliau telah meninggal dunia," katanya. 

Turut menziarahi jenazah Allahyarham ialah Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aeini Mokhtar.

Dalam kejadian 3.15 petang semalam, Allahyarham bersama isteri dan dua anaknya menaiki Perodua Alza, dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah, menuju Terengganu melalui laluan berkenaan sebelum kenderaan dinaiki hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan.

Akibat kemalangan itu, Alfian maut kerana kecederaan parah di kepala manakala isterinya, Zanariah Ramli @ Danial Malan, 27, cedera di muka dan anak, Arysha Zahra, 3, cedera paha kiri, patah tulang pinggul serta disyaki berlaku pendarahan dalam kepala manakala Aqeef Zafran, 1, hanya calar di dahi.  

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman dalam catatan Facebooknya merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.