Saturday, 24 October 2020

updated 9:17 AM UTC, Oct 24, 2020

Dr Mahathir Tolak Parti Yang Berjasa Kepada Beliau Dan Keluarganya - PM

London - UMNO dan Barisan Nasional telah berjasa dan memberi manafaat besar kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga membolehkan beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun.


Namun tindakannya menentang UMNO kini menyebabkan ramai berpendapat beliau telah menikam parti yang turut memberi manfaat besar kepada ahli keluarganya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Beliau dan keluarganya dapat banyak manfaat daripada kedudukan sebagai PM dan ini kerana kekuatan UMNO dan BN.

"Jadi bila dia suruh orang menolak parti yang banyak berjasa, maka terdapat reaksi yang negatif terhadap pendirian beliau yang tidak mengambil peduli langsung apa yang diterima sebagai manfaat kerana tanpa BN dan UMNO beliau tidak akan jadi perdana menteri, takkan jadi menteri," kata Najib.

Beliau berkata demikian pada sidang media malam tadi yang mengakhiri lawatan kerja beliau ke United Kingdom. Beliau dijangka berlepas pada pagi Rabu ke Sochi, Rusia untuk Sidang Kemuncak Rusia-ASEAN selama dua hari.

Najib diminta mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir yang menggesa parti pembangkang bersatu menentang BN pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang akan berlangsung 18 Jun depan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai struktur baharu jemaah menteri, perdana menteri berkata beliau masih memikirkannya dan menyentuh mengenai keperluan untuk menyusun semula struktur jawatan di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, termasuk jawatan Ketua Setiausaha.

Ini ekoran pelepasan jawatan oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta kematian timbalannya, Noriah dan ketua setiausaha Datuk Dr Sundaran Annamalai.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Berita Semasa
  • Jumlah paparan: 327