Saturday, 24 October 2020

updated 9:17 AM UTC, Oct 24, 2020

Dua beranak maut kemalangan, elak ular sawa melintas

DUNGUN, 22 Oktober - Seorang peneroka Felda dan anak perempuannya maut selepas kereta mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Dungun, Terengganu, kira-kira 9 pagi tadi.

Kemalangan berlaku di kilometer 61 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Felda Jerangau Barat.

Mangsa Mohamed Jenal, 61 tahun, dan anaknya Mardiah, 25 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Sebelum kemalangan, kenderaan dipandu Mohamed cuba mengelak seekor ular sawa yang melintas jalan menyebabkan haluan tersasar ke laluan bertentangan lalu melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia lingkungan 50-an.

Pelanggaran menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di bahagian hadapan tempat duduk dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kemalangan tersebut.

Kes disiasat bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Ditulis oleh Media Baharu
  • Kategori: Berita Semasa
  • Jumlah paparan: 216