Saturday, March 28, 2020

updated 1:48 PM UTC, Mar 28, 2020

Hubungan Baik Malaysia-Arab Saudi Buka Lebih Banyak Peluang Kerjasama

 

Kuala Lumpur  - Hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan Arab Saudi telah membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam sektor-sektor teras seperti ekonomi dan pendidikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin kerjasama itu akan membawa banyak faedah untuk negara serta rakyat Malaysia dan Arab Saudi.

"Kerajaan Arab Saudi telah banyak memberi bantuan kepada rakyat Malaysia dalam pelbagai perkara termasuklah kemudahan visa, pemindahan kecemasan pelajar dan lain-lain," katanya dalam blog beliau www.najibrazak.com.

Datuk Seri Najib mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Arab Saudi mulai Jumaat lepas.

Sempena lawatan itu, beliau mengambil peluang menunaikan umrah, melawat Knowledge Economic City, Dar Al Madinah Urban, Built Heritage Museum dan bertemu penuntut serta golongan profesional Malaysia di Jeddah dan Makkah.

Dalam pada itu, Perdana Menteri meminta semua pihak supaya mengamalkan konsep Wasatiyyah yang bercirikan keistimewaan Islam yang dirujuk sebagai sederhana, pertengahan dan tidak melampau.

"Bersama-samalah kita mengamalkan konsep Wasatiyyah kerana ia adalah konsep yang bersandarkan kepada sejarah Nabi Muhammad SAW dalam menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar," kata beliau.

 Katanya umat Islam harus bersatu dan mendukung usaha penyatuan serta tidak berbalah antara satu sama lain.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Berita Semasa
  • Jumlah paparan: 386