Monday, June 1, 2020

updated 2:10 PM UTC, Jun 1, 2020

PM Umum Peruntukan RM2.5 Juta Bantu Institusi Pondok

Kuala Nerus - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM2.5 juta bagi membantu institusi pondok di negara ini agar terus maju dan terbela.

Beliau berkata sebanyak RM500,000 untuk bantuan segera menerusi Tabung Kasih Perdana Menteri bagi membantu institusi pondok yang ditimpa bencana manakala RM2 juta dalam bentuk geran kepada Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM).

Katanya, Tabung Kasih Perdana Menteri itu adalah pertama kali diperkenalkan dan peruntukannya akan ditambah mengikut keperluan semasa.

"Saya bersetuju peruntukan geran sebanyak RM2 juta kepada YPPM bagi meneruskan kajian mengenai institusi pondok negara ini, selain mengoperasikan semula instrumen media sosial milik YPPM," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Ijtimak Pondok Malaysia kali ke-2 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini.

Dalam ucapannya, Najib mengalu-galukan pendekatan ijtimak bertemakan pemantapan istitusi pondok melalui sistem wakaf yang dianggap satu pendekatan yang baik dan munasabah untuk mencari penyelesaian kepada masalah kewangan yang dihadapi institusi pondok.

Katanya, pendekatan wakaf telah lama diamalkan di institusi pengajian tinggi terkemuka dunia seperti Universiti Al-Azhar di Mesir, serta beberapa universiti di negara Barat.

Perdana Menteri turut menyarankan YPPM mengambil inisiatif untuk mendaftarkan institusi pondok bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan dan peruntukan yang disediakan pihak kerajaan.

Mengikut rekod, daripada lebih 400 institusi pondok di negara ini, hanya 112 sahaja yang berdaftar dengan YPPM.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Berita Semasa
  • Jumlah paparan: 216