Tuesday, September 26, 2017
vital-top
updated 2:48 PM UTC, Sep 26, 2017

Kawasan Larangan Menghisap Vape Tahun Depan - Dr Hilmi

Butterworth - Kementerian Kesihatan akan menguatkuasakan larangan menghisap rokok elektronik atau vape di 21 kawasan yang diwarta sebagai kawasan larangan merokok mulai tahun depan.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, larangan itu akan dikuatkuasakan selepas Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah membuat penambahbaikan dalam Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

"Kita ada peraturan kawalan tembakau di bawah Akta Makanan 1983 yang diperkenalkan pada tahun 2004. Dalam akta ini ia disebut asap. Jadi semua yang berbentuk asap seperti rokok, cerut dan sebagainya tidak boleh dihisap di kawasan larangan.

"Kita akan gunakan peraturan kawalan tembakau ini untuk vape dengan memasukkan satu perkataan dalam peraturan itu iaitu wap. Wap termasuk vape. Jadi dengan perkataan baharu ini penghisap vape dilarang untuk menghisapnya di 21 kawasan larangan merokok.

"Saya yakin tahun depan kita akan laksanakan perkara ini," katanya selepas menyerahkan van jenazah kepada Hospital Seberang Jaya.

Yang turut hadir Pengarah Hospital Seberang Jaya Dr Zainol Ariffin Mohammed dan Pegawai Kemajuan Negeri Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Syed Shaari Syed Abdullah.

Sementara itu Dr Hilmi berkata pihaknya akan mewujudkan dua hospital kluster di Pulau Pinang iaitu Hospital Seberang Jaya dan Hospital Pulau Pinang bagi mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada.

  • Jumlah paparan: 395