Thursday, June 21, 2018
vital-top
updated 12:10 PM UTC, Jun 21, 2018

PM Mahu Golongan Muda Libatkan Diri Dalam Aktiviti Kesukarelawanan

 

Puchong - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa golongan muda terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan untuk membantu memantapkan jati diri golongan berkenaan.

Beliau berkata kerajaan yakin golongan muda mampu dibentuk menjadi kumpulan yang bakal membawa negara ke tahap lebih tinggi.

"Banyak telah dilakukan untuk golongan muda kerana kita yakin mereka ini kalau kita dapat gemblengkan dalam usaha bersifat padu dan holistik, dilengkapi dengan produk dan tema yang dekat dengan jiwa mereka, maka mereka akan menjadi kumpulan yang akan membawa kejayaan kepada negara," katanya.

Datuk Seri Najib berkata demikian ketika merasmikan iM4U Sentral di Puchong, yang bakal menjadi hab pembangunan belia dengan menempatkan kemudahan bagi aktiviti sukan, kesukarelawan dan modal insan.

Beliau  juga menekankan aspek keikhlasan untuk diamalkan golongan muda dengan tidak mengharapkan ganjaran dalam bentuk wang ringgit kerana aktiviti sukarela dapat membentuk jati diri golongan itu.

Katanya golongan belia yang kukuh dan mantap jati diri akan lebih bersedia dalam menghadapi pelbagai cabaran pada masa depan.

Perdana Menteri berkata kerajaan bertanggungjawab menyediakan tapak dan peluang kepada golongan muda untuk berjaya, namun semua itu terletak kepada sikap golongan itu sendiri.

"Apabila ada pusat seperti ini, saya harap ia dijadikan bukan hanya satu pusat untuk bersuka ria tetapi tempat berkumpul bagi menjana dan mencetuskan idea-idea bernas serta kreatif dalam mengubah masa depan negara. Tapi dalam proses itu, golongan muda perlu mengubah diri sendiri," katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan bagi mewujudkan Anugerah Kesukarelawan Malaysia yang dibahagikan kepada tiga kategori - emas, perak dan gangsa.

"Bagi mereka yang ingin memohon kerja di sektor kerajaan, kita akan beri nilai tambah kepada mereka yang mendaftar sebagai sukarela. Kerana, kita bukan sahaja mahu kelulusan akademik tetapi juga soal kualiti kepimpinan perlu diutamakan," katanya.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Berita Semasa
  • Jumlah paparan: 353