Friday, December 15, 2017
vital-top
updated 8:49 AM UTC, Dec 15, 2017

Jajaran Rangkaian HSR Masih Dibincangkan - MOT Singapura

 

Singapura  - Jajaran laluan rantaian kereta api berkelajuan tinggi (HSR) sepanjang lebih 300 kilometer antara Singapura dan Kuala Lumpur, masih lagi dalam peringkat perbincangan, demkian menurut laporan berita yang memetik Kementerian Pengangkutan (MoT) Singapura.

Kementerian itu berkata jajaran itu akan hanya dimuktamadkan selepas kajian terperinci ke atas aspek kejuruteraan, selesai.

"Selepas proses Permohonan Maklumat (RFI) selesai pada Disember 2015, kedua-dua negara kini mengkaji maklum balas secara terperinci dan akan menggunakannya bagi menambah baik model komersial dan operasi projek itu selain pendekatan pemerolehan," kata MoT.

Kementerian itu berkata kedua-dua negara sedang mengkaji kemungkinan melaksanakan dua perkhidmatan berbeza dalam rangkaian HSR merentas sempadan antara Singapura dan Kuala Lumpur itu.

MoT berkata Singapura dan Malaysia masih dalam proses perbincangan ke atas model komersial dan operasi projek itu yang berkemungkinan meliputi perkhidmatan ekspres tanpa henti antara Kuala Lumpur dan Singapura dan perkhidmatan transit yang singgah di beberapa stesen.

"Singapura mencadangankan perkhidmatan transit, yang akan singgah di beberapa stesen di Malaysia, sekali gus memberi kemudahan terutama kepada pengguna di Malaysia, diurus secara berasingan daripada perkhidmatan ekspres tanpa henti," kata jurucakap kementerian itu dipetik sebagai ber-kata.

"Ini akan memberikan autonomi perkhidmatan transit kepada Malaysia untuk memenuhi keperluan domestiknya, manakala kedua-dua negara bekerja bersama-sama ke atas perkhidmatan HSR merentas sempadan," katanya.(Bernama)

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Berita Semasa
  • Jumlah paparan: 169