Tuesday, 26 October 2021

updated 5:28 AM UTC, Oct 26, 2021

RMKe-12: Pelan pelaksanaan dasar dimuktamadkan

  • Published in Semasa

PUTRAJAYA, 12 Oktober - Rancangan Malaysia ke12, RM Ke-12 yang bermatlamat ‘Keluarga Malaysia, Makmur, Inklusif, Mampan’, dibentangkan di Dewan Negara, siang tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pembentangan itu menjelaskan tumpuan pembaharuan yang diperkenal, meliputi tiga tema, empat pemangkin dasar serta 14 pemacu perubahan.

Bagi memastikan pencapaian yang ditetapkan dalam RM Ke-12, Pelan Pelaksanaan Dasar, PPD di bawah penyelarasan Unit Perancang Ekonomi sedang dimuktamadkan dan dijangka siap November ini.

PPD itu akan menjajarkan strategi dan inisiatif dengan petunjuk prestasi utama, KPI serta kementerian dan agensi penyelaras dan pelaksana yang bertanggungjawab.

Perdana Menteri yakin dengan kerjasama semua pihak dan semangat Keluarga Malaysia, semua strategi dan inisiatif di bawah RM Ke-12 dapat dilaksanakan dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.

Mengulas mengenai perjuangan memerangi impak pandemik COVID-19, Datuk Seri Ismail Sabri mengingatkan masyarakat tidak harus leka kerana wabak itu masih belum berakhir, selain bersedia memasuki fasa endemik.

Di akhir pembentangan, Perdana Menteri berkata Belanjawan 2022 yang bakal dibentangkan, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 9 Oktober ini bakal memperincikan butiran program dan projek bagi melaksanakan strategi serta inisiatif di bawah RM Ke-12.