Logo

Mayat operator jentolak dihempap batu dan tertimbus bersama jentera berjaya dikeluarkan

BAU, 14 September - Mayat Anthony Kanna, 49 tahun seorang operator jentolak yang dihempap batu dan tertimbus bersama jenteranya di kuari Kampung Tanjung Durian, Seniawan berjaya dikeluarkan tengah hari tadi.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, operasi yang mengambil masa empat jam 20 minit itu berjaya memecahkan batu seberat lebih 10 tan hasil kerjasama pekerja kuari terbabit.

Dalam kejadian petang semalam, Anthony dan jentera yang dikendalikannya dilaporkan tertimbus dihempap batu sebesar 20 meter ketika melakukan kerja-kerja meratakan batu sekitar pukul 3.00 petang.

Ia disebabkan struktur tanah batu yang kurang stabil mengakibatkan bongkah batu besar dari atas bukit jatuh menimpa mangsa yang masih berada dalam jenteranya.

Operasi mengeluarkan mangsa diaktifkan petang semalam namun berdepan pelbagai kesukaran.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.